“Kring…kring..kring…”aku bergegas mengangkat telefon. Seusai mengangkat telefon, kedengaran suara anak sulungku, Aisyah di talian teresak-esak menangis. “Ummi, Aisyah sedih,” katanya. Kaget aku seketika. Kenapa dengan anakku ini, setahu aku, Aisyah seorang yang sangat susah untuk menangis. “Aisyah, boleh ummi tahu kenapa Aisyah menangis tiba-tiba ni? Ada sesuatu yang buruk terjadi ke?” aku bertanya. “Ummi, hari tu Aisyah ada cerita kan pasal exam Aisyah yang susah. Aisyah ‘fail’ ummi.” Serentak dengan itu, makin kuat esakannya. “Aisyah , tidak mengapa, sabar Aisyah, ummi tahu, Aisyah dah berikan yang terbaik. Allah pun tahu Aisyah dah usaha sungguh-sungguh untuk paper Aisyah yang satu ni,” pujukku. “Ummi, Aisyah sedih. Kawan Aisyah banyak yang lepas ummi, Aisyah seorang saja yang tersangkut ummi,” katanya dalam sedu sedannya. “Aisyah, sabar sayang, banyakkan istighfar, nak.” Pilu hatiku mendengar esak tangisnya.
Teringat aku pada peristiwa yang sama yang pernah terjadi padaku dua puluh lima tahun yang lalu. “Aisyah, tidak mengapa, gagal sekali ni bukan bermaksud gagal selama-lamanya. Aisyah masih ada peluang nak baiki mana yang silap, yakinkan mana yang ragu, sebab Aisyah masih belajar. Nanti Aisyah masih ada peluang untuk ulang semula paper ni kan?” soalku. “Ummi, tak sama ulang semula dengan tak perlu ulang semula. Aisyah malu.” “Aisyah, malu yang diajar islam bukan begitu caranya. Kita perlu malu kalau kita buat salah dengan Allah, tak ikut apa yang Allah suruh buat, buat apa yang Allah larang. Lulus atau gagal ini letaknya di tangan Allah, Allah dah tetapkan sejak azali lagi. Allah tak kisah kalau kita gagal atau lulus, tapi Allah kira usaha yang kita buat untuk jawab soalan kita,belajar, berdoa, itu semua termasuk dalam nilaian Allah. Lepas tu, keputusan itu di tangan Allah, dan kita sebagai umat islam diajar untuk redha dengan apa yang Allah dah tetapkan untuk kita selepas kita dah berusaha dan bertawakal.
Sepatutnya Aisyah, kita kena rasa malu kalau kita tak percaya dengan apa yang Allah dah tetapkan untuk kita,” nasihatku. “Tapi ummi, perit sungguh rasa ni. Ummi, kenapa Aisyah ummi..Aisyah rasa tak cukup kuat pun nak hadapi ujian Allah ni,” esaknya. “Aisyah, manusia ni pertimbangannya tak jauh. Ilmunya terhad, tak pernah sama dengan ilmu Allah. Yakinlah Aisyah, kalaupun Aisyah tak nampak, bahawa ini adalah yang terbaik untuk Aisyah. Jangan cakap seperti itu nak, itu tanda orang putus asa, Allah tak suka orang yang berputus asa,” pesanku. “Aisyah, ingat tak ayat Quran yang ummi ajar Aisyah baca setiap pagi.. “Allah tidak membebankan seseorang melainkan dengan kesanggupannya….” (Al-Baqarah : 286) “Aisyah, dalam ayat ni, Allah dengan jelasnya beritahu bahawa dia tidak akan uji kita kalau kita tak mampu. Ini kata-kata Allah Aisyah, yang tiada ragunya, yang sentiasa benar dari dulu hingga kini, kata-kata dari pencipta kita.,” katanya. “Ummi, Aisyah tahu….tapi, susahnya ummi nak terima hakikat ni,” katanya. “Aisyah sayang, ini barulah apa yang kita katakan praktikal dari apa yang kita belajar selama ini. Kalau dulu, ummi asyik ajar Aisyah teori bersabar, inilah waktunya bila mana Aisyah kena praktikkan sabar itu. Ummi tahu, ia memang manis dan sedap untuk diucapkan, tetapi hakikatnya susah untuk dilakukan. Sebab tu orang yang banyak bersabar ni ganjarannya tinggi di sisi Allah.” “Aisyah, cuba kita tengok kisah Rasulullah dulu. Sayang Allah padanya, Allah uji dengan pelbagai ujian, Allah uji dengan kaum Mekah yang tidak jemu-jemu menentangnya, Allah uji dengan perginya orang-orang yang tersayang ketika baginda sangat-sangat memerlukannya, Allah uji dengan macam-macam lagi bentuk ujian. Allah tak bagi Rasulullah kemenangan dengan mudah, kerana Allah nak ajar Rasulullah s.a.w. dan umatnya bersabar itu bagaimana.
Sabarlah Aisyah, Allah sayang padamu, sebab tu Allah uji dengan ujian sebegini rupa, sebab Allah nak Aisyah lagi dekat padaNya, Allah nak bagi peluang dekat Aisyah tambah pahala berlipat ganda dengan banyak-banyak bersabar.” “Aisyah, kadang-kadang, gagal inilah yang akan memacu kita untuk lebih berjaya. Bersyukurlah sayangku, sebab Allah tunjuk kelemahan kita sejak dari mula lagi, Allah bagi kita peluang untuk baiki segala kesilapan kita dari awal supaya kita berjaya dengan cemerlang kelak. Allah ajar kita untuk pandai bahagikan masa antara kerja persatuan dan pelajaran, sebagai langkah awal sebelum menempuh alam rumahtangga yang pastinya lebih mencabar kelak.” “Ummi, Aisyah rasa Aisyah dah bagi yang terbaik ummi,”katanya. “Aisyah, sebab tu ummi kata, pengetahuan manusia ni terhad. Kita sukar untuk nampak hikmah di sebalik sesuatu peristiwa. Mungkin apa yang Allah nak didik Aisyah ialah kemenangan dan kejayaan kita bukan terletak pada banyak mananya usaha yang telah kita buat, tapi pada rahmat dan kekuasaan Allah.”
“Aisyah ingat tak kisah perang Hunain di mana bilangan umat islam yang ramai tidak menjamin kejayaan mereka. Kenapa agaknya Aisyah?” tanyaku. “Kenapa ummi?” tanyanya berminat. “Kerana bilangan yang ramai itu telah menyebabkan mereka lupa untuk bergantung penuh pada Allah, mereka merasa mereka kuat dengan tentera yang banyak, walhal kemenangan itu terletak pada tangan Allah. “Samalah dengan usaha kita yang banyak. Usaha itu diibaratkan sebagai pancing untuk meraih rahmat dan redha Allah yang akan menentukan kejayaan atau kemenangan kita kelak.” ceritaku.
“Ummi, Aisyah rasa Allah nak ajar Aisyah untuk jadi hamba Allah yang betul-betul hamba, tanpa ada secebis pun rasa aku hebat dalam diri. Mungkin benar apa yang ummi cakap, sebab sebelum ni Aisyah kan sentiasa senang, cemerlang dalam segala-galanya. Nombor satu dalam kelas perkara biasa, semua ‘A’, pelajar terbaik sekolah sampai mungkin Aisyah terlupa untuk mengembalikan rasa syukur itu kembali kepada Allah,” jawabnya. “Alhamdulillah, itulah yang ummi cuba sampaikan. Itulah yang dinamakan ujian dalam nikmat, yang mana kita selalu terlupa, bak Qarun yang terlupa untuk ingat Allah dengan banyaknya harta yang dimiliki.” kataku. “Nauzubillah ummi, Aisyah tak nak jadi macam tu ummi.” katanya. “Begitulah sayang, Allah suruh ambil pengajaran dari kisah-kisah terdahulu,” nasihatku.
“Terima kasih ummi, Aisyah rindulah nak jumpa ummi. Baiklah ummi, Aisyah akan usaha sungguh-sungguh lepas ni dan berdoa dan berharap betul-betul pada Allah.” janjinya. “Alhamdulillah nak, kita kembalikan semuanya kepada Allah,” tambahku. “Baiklah ummi, azan dah berkumandang tu, Aisyah solat dulu. Terima kasih lagi sekali, my dearest ummi.” katanya. “Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, ummi,” katanya menutu bicara. “Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh, anakku,” balasku. Gagang telefon kuletak perlahan.
Tanpa kusedari, air mataku bergenang, teringat perbualanku dengan ummiku 25 tahun yang dulu, yang nasihat dan perangsangnya telah banyak membantuku menjadi seorang doctor pada hari ni. Ummi, Ana rindu ummi juga…
sumber : http://ummukhadijah.blogspot.com
No comments:
Post a Comment